PERBAHASAN AGUNG :-

1) ULUHIYYAH
2) NUBUWWAH
3) SAM'IYYAT
4) MUMKINAT

Friday, December 30, 2011

Kepentingan dan kewajipan memastikan aqidah kita bertepatan dengan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Tujuan Asas blog ini diwujudkan dan ditulis adalah kerana untuk mengajak supaya sama-sama kita memeriksa apakah kepercayaan kita sekarang ini, atau adakah kita tidak pernah merasa pentingnya membetulkan aqidah kita selari dengan aqidah para Anbiya dan para Sahabat di samping memperkuatkan dan memperjelaskan aqidah dan kepercayaan khususnya nabi kita Rasulullah S.A.W, malah seluruh para Anbiya' dan juga aqidah sahabat-sahabat baginda yang mulia. Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah menjadi tunjang dan penyebab ibadat seseorang hamba itu diterima, dinilai dan diberi ganjaran oleh Allah SWT.

Objektif blog ini ditulis adalah supaya kita tidak merasa ragu-ragu, syak,zan dan waham apabila melakukan ibadat dan amal soleh lainnya mengikut mazhab kita iaitu Mazhab Imam Muhammad bin Idris Al Syafi'e kerana berdasarkan konsep " Rosaknya aqidah maka sia-sialah amalan yang dikerjakan ", antara objektif-objektif lainnya adalah supaya kita dapat mengetahui pecahan aqidah-aqidah yang lain yang telah tersasar daripada aqidah para nabi dan para sahabat ( Ahli Sunnah Wal Jamaah ) sebagaimana sabdaan Nabi S.A.W ( lebih kurang melayunya ) bahawa umatku terpecah kepada 73 pecahan kepercayaan maka hanya satu sahaja yang selamat daripada kekal di dalam neraka iaitulah Ahli Sunnah Wal Jamaah, serta dapat menghindarkan diri dan tanggungan kita daripada tergolong di dalamnya. Kita juga dapat mengenal dan memahami sejarah penyusun dan penyusunannya dan sebab-sebab ia menyusun aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah  ini.


 Perbahasan pertama  : - Sejarah penyusunan
                      aqidah AhlusSunnahWalJamaah secara ringkas.

Antara sebab lahirannya gerakan penyusunan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah untuk memurnikan aqidah umat islam yang telah diubah suai mengikut nafsu dan pemikiran yang datangnya dari Iblis La'natullah 'alaihi, ia berlaku apabila terjadinya  peristiwa perbalahan antara Imam Abu Hassan Al Asy'ari dengan Abu Ali Al Jubbai, seorang pemikir daripada firqah Muktazilah yang sesat, perlu diperingatkan apabila kita menyebut atau menggunakan perkataan Ahli Sunnah Wal Jamaah, maka yang dikehendaki dengannya adalah aqidahnya seluruh para nabi-nabi Allah dan aqidah sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W yang disusun atur oleh Imam Abu Hassan Al Asy'ari dan Imam Abu Mansur Al Maturidi, maka selaian daripada ini bukanlah ia aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Penyusunnya adalah seorang ulama' yang bertahap mujtahid mutlak (yang memenuhi syarat dan layak berijtihad berdasar Al Quran dan Hadith) bernama Abu Hasan Ali bin Ismail Al Asy'ari. Digelar Al Asy'ari kerana datuknya yang ketujuh ialah Abu Musa Al Asy'ari R.A, Abu Hasan Al Asy'ari dilahirkan di Basrah pada tahun 260 Hijrah. Ia tidak menghadiri majlis-majlis Ahli Fiqh dan Ahli Hadith melainkan ia menghabiskan masanya bersama-sama ustaznya sahaja iaitu Abu Ali Al Jubbai, kerana ia mempelajari ilmu aqidah atau tauhid daripadanya. Kerana inilah ia sudah tumbuh membesar diatas mazhab Muktazilah dan berguru dengan ketua ( Rais ) Muktazilah pada zamannya iaitu Abu Ali Al Jubbai. Oleh kerana Abu Hasan Al Asy'ari sangat fasih berhujjah, ia selalu mengambil tempat gurunya atau syaikhnya bagi berdebat atau berhujjah dengan penentang mazhab Muktazilah. Abu Ali Al Jubbai hanya pintar dan pandai didalam masalah karang mengarang sahaja,adapun tentang berdebat dan berhujjah ia adalah orang yang lemah untuk berhujjah.
Berkekalanlah Abu Hasan Al Asy'ari menganut mazhab Muktazilah selama 40 tahun sehinggalah  pada suatu hari ia telah bertanya akan gurunya tentang masalah dasar Muktazilah iaitu "Wajib Allah SWT melakukan yang baik dan terbaik bagi makhluk" dan lemah gurunya menjawab akan hujjah-hujjah yang dihadapkan kepadanya oleh Al Asy'ari tentang dasar Muktazilah itu, dan ia mulai merasakan yang dirinya mula cenderung kepada pandangan dan pendapat-pendapat Ahli-ahli Fiqh dan Ahli Hadith.
Maka ia duduk dirumahnya beberapa waktu dan ia mula membandingkan dalil-dalil diantara mazhab Muktazilah dan mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah hingga jelas dasar mazhab mana yang hendak diikutnya dan di iklankannya.
Pada  hari jumaat, maka ia pun pergi ke masjid jami' di Basrah dan ia pun menaiki mimbar masjid dan ia pun berseru dengan sekuat-kuat suaranya "Wahai manusia ! barangsiapa telah kenal akan aku,maka memanglah ia telah kenal dan barangsiapa yang belum mengenali aku, maka aku akan perkenalkan diriku. Aku ialah Abu Hasan Ali bin  Ismail Al Asy'ari !. Pada mulanya aku berkata bahawa Al Quran itu makhluk,dan aku percaya bahawasanya segala perbuatan-perbuatan yang buruk itu aku yang melakukannya sendiri (iaitu bukan dengan kehendak Allah SWT), dan sekarang aku bertaubat dan aku melepaskan diriku dan aku berpaling dan menolak akan mazhab Muktazilah serta keluar dari kesalahan-kesalahan mereka. Wahai perhimpunan manusia ! hanya sesungguhnya aku menghilangkan diriku daripada kamu dalam beberapa waktu kerana aku membandingkan dan aku padankan (disuaikan) segala dalil-dalil supaya tidak berat sebelah segala dalil-dalil". Maka mulai dari hari itu ramailah yang mengikutnya, golongan yang mengikut Imam Abu Hasan Al Asy'ari digelar sebagai Asya'irah.
Seorang lagi Imam Ahli Sunnah Wal Jamaah  bernama  Muhammad  bin Mahmud Abu Mansur Al Maturidi. Pengikut-pengikut Maturidi dipanggil Al Maturidiyyah. Ia dilahirkan dikampung dalam daerah Maturid, Samarqand pada kurun ke 3 Hijrah. Al Maturidi adalah keluaran dari madrasah Abu Mansur Al 'Iyadi. Kaum pengikut Maturidiyyah digolongkan pada tingkatan keempat daripada tingkatan para ulama'-ulama' mazhab Hanafi. Imam Maturidi sangat mendalam didalam pengajian ilmu Fiqh dan Usul Fiqh (Mazhab Hanafi) dan mendalam juga dalam sekelian ilmu-ilmu agama.
Keadaan madrasah tempat ia menamatkan pengajiannya banyak mengeluarkan para alim ulama'. Sesungguhnya tersebarlah kemasyhurannya pada ilmu kalam (tauhid) dan ramailah para pengikutnya dan jadilah mazhab Maturidi itu sebagai mazhab ikutan orang-orang ahli Khurasan. Sampailah daripada masyhurnya suara gagahnya dan kemasyhurannya hingga penduduk-penduduk Ma Wara An Nahri (seberang sungai Dajlah) merujuk mereka kepada Imam Maturidi pada segala masalah yang musykil mereka diatasnya daripada ilmu-ilmu Usul atau ilmu-ilmu Furu' (tauhid dan fiqh). Jelasnya,apabila ditanya,berikan sumber ambilan (istimdad) mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah ini, maka jawapannya adalah pada 3 perkara utama iaitu Al Quran, Hadith dan ijtihad Imam Asya'irah dan Maturidi.

Perbahasan kedua :- Kepentingan beraqidah dengan    
                                  aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Kewajipan setiap mukallaf memastikan bahawa aqidah yang dianutinya adalah aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, supaya amal ibadat yang  dilaksanakan tidak sia-sia belaka dan ditolak oleh Allah SWT. Golongan manusia terbahagi kepada 4 bahagian dari sudut mu'min atau kafirnya : -

1) Mu'min disisi manusia lagi mu'min disisi Allah SWT.
2) Kafir disisi manusia juga kafir disisi Alah SWT.
3) Kafir disisi manusia tetapi mu'min disisi Allah SWT.
4) Mu'min disisi manusia tetapi kafir disisi Allah SWT(Zindik).


Zindik ialah pada zahirnya beramal dengan amalan Islam tetapi pada hatinya (aqidahnya) meyakini aqidah selain Ahli Sunnah Wal Jamaah (berfahaman mereka dengan fahaman kufur,syirik,nifaq dan najis). Impak atau kesan  yang jelas bagi mereka-mereka yang beramal tetapi tiada benar aqidahnya, mereka ini termasuk dalam golongan yang ke 4 Na'uzubillah Min Zalik.

Perbahasan ketiga :- Pecahan 73 firqah dalam aqidah.

Adapun berdasarkan hadith Nabi yang masyhur iaitu (lebih kurang melayunya) ".....terpecah umatku di atas 73 pecahan, kesemuanya didalam neraka melainkan satu pecahan jua (jamaah) yang masuk syurga......" . Menurut pensyarah hadith yang terbilang ilmunya iaitu Imam Ibnu Hajar Al Asqolani bahawa jamaah yang satu itu adalah jamaah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan yang selain daripadanya  adalah firqah-firqah yang sesat lagi kufur, yang akan menghuni neraka buat selama-lamanya.
Perlu difahami bahawa firqah yang 72 itu yang  kesemuanya kekal di dalam neraka adalah golongan-golongan manusia yang berpecah dari segi kepercayaan atau aqidah bukanlah dari segi amalan fiqhiyyah atau ibadat, malah firqah-firqah yang 72 ini kesemuanya mengamalkan dan menzahirkan amalan-amalan islam. Firqah-firqah ini adalah seperti kaum Syiah (Rafidiyyah), Khawarij, Jabariah, Qadariah, Mujassimah (Wahabiyyah) , Jahmiah dan sebagainya tidak termasuk golongan-golongan kafir yang menyembah berhala ataupun tidak mahupun Yahudi juga Nasrani.




Latihan Objektif

1) Siapa itu Jamaah Ahli Sunnah Wal Jamaah ?
    A) Wasil bin Atha'
    B) Abdullah bin Saba'
    C) Asya'irah dan Maturidiyyah
    D) Sesiapa sahaja yang menggunakan Al Quran dan Hadith

2) Siapakah yang dimaksudkan dengan firqah 72 yang 
     kekal mereka itu didalam nereka ?
    A) Mereka yang tidak melaksanakan solat
    B) Mereka yang menolak sambutan Maulid Nabi S.A.W
    C) Mereka yang tidak benar aqidahnya tetapi mereka 
         solat, puasa, zakat dan amal ibadat yang lainnya
    D) Mereka yang menyembah berhala

3) Apakah impak seseorang yang tidak benar kepercayaannya 
    atau aqidahnya ?
    A) Kafir dan kekal didalam neraka
    B) Berdosa besar dan pelaku maksiat/Bid'ah
    C) Makruh dan dibenci oleh Allah SWT dan seluruh 
         makhluknya
    D) Sesat tetapi tiada kafir

Selamat menjawab...semoga berjaya

Saturday, December 3, 2011

SELAMAT DATANG




Bismillah Al Rahman Al Rahim...
Alhamdulillah....
Allahumma Solli 'ala Muhammad...
Amma ba'du....

Ahlan wasahlan wamarhaban bikum...
Salam Perkenalan...Selamat datang ke blog membahas "AQIDAH NABI DAN SAHABAT"... segala catatan komen dan pandangan adalah sangat2 dialu-alukan supaya dapat mencari kebenaran...mudahan ianya dapat memberi manfaat untuk kita semua didunia dan diakhirat kelak amiiiin.....